WAKTUNYA ialah 10 hari terakhir bulan Ramadan tahun 2006. Tempatnya di tanah suci Mekah al-Mukarramah di dalam Masjidilharam. Kehadirannya ialah lebih dua juta umat Islam. Ibadat yang dilakukan ialah sembahyang witir pada akhir sembahyang tarawih, dan imamnya, imam terulung Abdul Rahman Al-Sudais yang merdu dan mersik suaranya bergema di seluruh penjuru bandar suci kota Mekah.
Pada rakaat terakhir witir, Sudais membaca doa panjang lebar dengan sahutan gemuruh jutaan makmum, bergema dan bergemuruh memecahkan hening malam waktu dinihari ketika ibadat ini dilakukan.
Imam Sudais menangis teresak-esak, dan makmum turut menangis. Imam tersedusedan mengucapkan doanya memohon Allah s.w.t. menghapuskan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Rakyat Palestin sedang mengalami kelaparan, penderitaan dan panindasan daripada kuasa zionis dan kuncu-kuncunya yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Maka semua makmum yang mengaminkannya turut menghayati kepiluan rasa dan dapat membayangkan segala kisah sedih dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di negara malang itu. Maka semuanya turut menitiskan air mata berjura-jurai, sedih, hampa, marah, dukacita dan seribu satu perasaan yang bermain di dalam kepala masing-masing.
Imam Sudais menangis dengan lebih sedih, sehingga suara bacaannya tersekat-sekat, ketika berdoa memohon agar Allah memberikan taufik dan hidayah kepada rakyat Iraq yang sedang bergelumang dengan darah dan saling berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Inilah dua peristiwa yang menikam jantung hati umat Islam, termasuk rasa sedih Imam Sudais dan makmumnya yang menghadiri sembahyang malam yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi itu.
Malam 10 terakhir Ramadan di Mekah dan Madinah menyaksikan umat Islam berjaga keseluruhan malam, dimulai dengan sembahyang isyak dan tarawih, kemudian Qiamullail selama dua jam mulai pukul 1 pagi. Selesai sembahyang malam, umat Islam bersahur hingga pukul 5 pagi, lalu bersembahyang subuh dan meneruskan ibadat hingga pagi.
Suasana 10 hari terakhir Ramadan di Mekah dan Madinah amat berbeza daripada suasananya di tempat lain. Suasananya penuh dengan keheningan rohani dan emosi, kehebatan dan kebesaran Pencipta alam dan manusia seluruhnya mengangkat perasaan umat-Nya ke kemuncak keinsafan dan ketakwaan. Hanya orang yang menghayati dan merasainya, yang mengetahui bagaimanakah keagungannya menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan ini berdekatan dengan tanah suci dan rumah Allah yang melambangkan kekuasaan dan keagungan Tuhan Yang Esa.
Oleh itu tidaklah ganjil sama sekali, kalau Imam Sudais menitiskan air mata dan tersedu-sedan dalam permohonannya kepada Allah agar umat Islam yang tertindas dan teraniaya, di mana-mana sahaja mereka berada.
Rakyat Palestin dibunuh dan diharamkan daripada arus perdana kehidupan yang dinikmati manusia lain. Mereka tidak punya tanah air dan rumah tangga yang tetap, kerana negara mereka dirampas dan rumah tangga mereka diroboh dan dimusnahkan dari semasa ke semasa. Anak kecil, wanita, orang tua dan muda semuanya menjadi korban peluru dan roket Israel.
Rakyat Iraq sejak beberapa tahun ini menjadi korban penindasan penceroboh yang berhati binatang. Mereka juga dibunuh, dihimpit dengan kekejaman. Mereka terpaksa bergelap dan menanggung kelaparan dan dahaga akibat kehidupan yang penuh keganasan dan ketakutan. Mereka berada di negara sendiri, tetapi negara mereka dikecai-kecaikan oleh permainan penceroboh. Maka mereka kembali kepada kehidupan jahiliah, berpuak-puak dan bersuku-suku, berbunuh-bunuhan sehingga hitung panjang nyawa yang melayang setiap hari menjangkau angka ratusan.
Inilah yang ditangiskan oleh Imam Sudais dan jutaan umat Islam di tanah suci itu, di depan Kaabah, rumah Allah, kiblat seluruh umat Islam dari segala pelosok dunia. Imam Sudais dan jutaan makmum yang mengaminkan doanya, memohon dan merayu dengan air mata yang menitis dan mengalir dengan derasnya, agar Allah menyahut doa mereka di dalam malam yang syahdu ini, hapuskanlah kekejaman Israel, hancurkanlah musuh umat Islam, pertingkatkanlah kekuatan dan keagungan umat Islam, dan hapuskanlah rasa perseteruan dan permusuhan sesama umat Islam, agar dunia Islam, terutamanya di dua buah daerah yang bergolak dan berdarah itu kembali aman sentosa, makmur dan aman damai seperti yang diajar oleh Allah dan Rasulnya.
Bagaimanapun, imam Sudais dan imam yang lain, bukanlah pertama kali mengucapkan doa seperti ini tahun ini. Telah kesekian kalinya, imam-imam ini berdoa begini dengan tumpahan air mata yang bergantang-gantang selama ini, di dalam masjid dan tanah suci yang sama, pada malam-malam yang sama dengan sedu-sedan dan kegemuruhan para makmum mengaminkannya yang serupa saban tahun.
Namun sebagai umat yang beriman dan yakin kepada kekuasaan Allah, doa dan rayuan, permohonan dan permintaan haruslah diteruskan selama-lamanya kepada Allah, kerana tidak semua doa akan dimakbulkan dalam masa yang singkat. Mungkin doa ini akan mengambil masa yang panjang sebelum dimakbulkan.
Permohonan doa itu sahajalah yang dapat dilakukan oleh hamba-hamba Allah seperti Imam Sudais dan umat Islam yang menjadi makmum di Masjidilharam yang tidak punya kuasa untuk melakukan sesuatu terhadap kekejaman dan penindasan yang dipaksakan ke atas umat Islam yang lemah dan daif. Imam Sudais dan jutaan makmum tentu sedar bahawa mereka perlu berdoa dan memohon, walaupun mereka adalah sebahagian umat manusia yang ramai di atas muka bumi ini, yang ketinggalan, lemah, mundur, tidak berilmu dan tidak maju. Mereka merangkak dengan amat payah di dalam persaingan kehidupan dunia yang diterajui umat lain dengan kekuasaan politik, teknologi dan ilmu pengetahuan, kekuatan ekonomi dan kebendaan yang mengatasi kekuatan umat Islam dengan tahap yang amat tinggi sekali.
Imam Sudais dan makmumnya tentu dapat merasai kebergantungan negara Islam kepada kuasa asing yang menjadi kiblat dan tuan mereka. Para pemimpin mereka yang memegang tampuk pemerintahan masing-masing, mungkin berkiblatkan kepada Kaabah ketika beribadat dan bersembahyang, tetapi dalam masa yang sama berkiblatkan ke Barat dan Amerika ketika berurusan dalam hal-hal keduniaan dan kepentingan diri.
Mungkin hal inilah yang lebih melukakan perasaan Imam Sudais dan sebahagian besar makmumnya, sehingga sedu-sedan mereka menjadi semakin nyaring dan perasaan mereka menjadi semakin bergolak, memecahkan kepala dan rongga fikiran. Namun sebagai umat yang beriman dan meyakini kepada kekuasaan Allah, mereka haruslah terus berdoa, agar keadaan menjadi lebih baik daripada keadaan sekarang, yang amat menyedihkan ini.
Hal inilah juga sebenarnya yang terkandung di dalam doa yang diaminkan berama-ramai itu ketika imam memohon supaya para pemimpin dan pemerintah dunia Islam dapat melihat jalan yang lebih bercahaya, jalan yang diredai Allah.
Doa tetap dengan doanya. Tetapi dalam doa, umat Islam tidaklah hanya harus berdoa sehingga kekeringan mulut dan tekak, kerana dalam berdoa, umat Islam haruslah berusaha, bekerja dan menyusun agenda secara sepadu untuk meningkatkan segala kelemahan mereka dalam serba-serbi dan selekoh hidup mereka di dunia ini.
Salah seorang khalifah Islam, ketika menyuruh umat Islam bekerja keras dalam memiliki kehidupan yang baik di dunia ini, pernah berpesan “bekerjalah anda dengan bersungguh-sungguh kerana langit ini tidak akan menurunkan hujan emas dan perak kepada anda.”
Maka dalam kesekian kalinya imam berdoa dan mengeluarkan air mata, maka sehingga bilakah mereka harus berdoa dan menitiskan air mata, sekiranya umat Islam dan para pemimpinnya tidak bergerak dan bangun merealisasikan kenyataan kehidupan yang dilanda serba kemalangan ini.
Sampai bilakah mereka harus berdoa sekiranya umat Islam masih bertuankan penjajahan baru yang serba bijak dan awas dalam melaksanakan agenda penindasan ke atas umat yang teraba-raba mencari tapak untuk berpijak di bumi global dan penuh dengan teknologi canggih ini.
Sampai bilakah imam dan makmum harus berdoa sekiranya umat Islam masih terperangkap dalam permainan kuasa asing yang ingin melihat mereka berpecah, berselisih, berbunuhan dan menumpahkan darah sesama mereka atas alasan “memerangi keganasan” “mencipta dunia yang lebih aman” “menyelamatkan umat manusia dari senjata pemusnah besar-besaran (wmd)?”
Namun begitu, mungkin tidak banyak makmum yang mengetahui dan menyedari buat apakah mereka berdoa dan menangis, kerana yang mereka ketahui bahawa Allah menegaskan di dalam al-Quran, Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Ku kabulkan permintaan kamu.
Kita yakin, pada satu masa, Allah akan mengabulkan doa para imam dan makmum yang kesekian kalinya itu. Namun kita tidak dapat mengetahui bilakah doa itu akan dikabulkan, dan yang lebih pentingnya bilakah umat dan para pemimpinnya akan berubah selain daripada berdoa kepada Allah dengan tumpahan air mata yang begitu banyak. Jadi kita pun bertanya, sampai bilakah imam Sudais dan yang lainnya akan berdoa di dalam bulan yang penuh berkat dan rahmat ini sekiranya doa mereka tidak disahut oleh umat dan para pemimpinnya untuk mewujudkan perubahan di dalam agenda perjuangan dan pemikiran?
-Ihsan Utusan.